BAB 7
Pagi Sabtu yang indah, Lia terover baik,
hanya duduk bermain dengan mainan yang ada di dalam playpen yang tidak jauh
dari pandangan mataku. Aku pula sibuk menyediakan apa yang patut untuk aku
masak. Aku hendak berlagak menjadi Jimie Oliver sekejap. Dian tidak ada di
rumah, dia sudah memberitahu aku yang dia akan terus pulang ke kampungnya,
terus dari pejabat semalam. Rembau,
dekat sahaja, bukannya Kelantan atau Terengganu. Jika hendak berulang dari
sanapun boleh!
Ligat tangan aku menyediakan masak lemak pisang muda dan ayam goreng
berempah. Manakala dessertnya pula, aku sediakan kueh ketayap. Inti kelapa
sudah aku sediakan malam tadi, sewaktu Lia sudah tidur. Aku hanya perlu
menyediakan kulitnya sahaja hari ini. Sebelum jam 12 tengahari aku sudah
bersedia dengan lauk-lauk yang aku masak, tersusun di dalam bekas pakai buang
yang telah aku beli kelmarin. Sengaja aku membeli bekas-bekas itu agar, dia
tidak perlu memulangkannya kembali bekas-kebas itu kepadaku.




