BAB 50
Maaf, kerana terpaksa..
Di sebelah petang, selepas menunaikan
solat Zohor, Zamri cuba memberanikan dirinya untuk mendekati Murni. Manalah
tahu dia dapat membantu mana yang boleh. Tidak sanggup rasanya membiarkan Murni
yang dia tahu, jiwa kacau sekarang ini. Dia bersedia membantu, jika Murni sudi
berkongsi masalah yang dihadapi dengannya, sebagai seorang kawan. Zamri tidak
ada niat lain, dia ikhlas.
Murni bergolek ke kiri dan ke kanan di atas
katil, bersendirian di dalam bilik yang hanya diterangi oleh biasan cahaya
bulan. Cahaya bulan yang mencuri-curi, menyelinap masuk dari celah langsir tingkap
cermin yang tidak ditutup sepenuhnya. Murni resah dan gelisah, mata pula degil
tidak mahu lelap pula malam ini. Entah apa kenanya. Kerana cuaca panaskah? Sudah
hendak menyalahkan cuaca pula. Itu tidak mungkin, kerana cuaca malam ini agak
dingin. Malah Murni boleh nampak cuaca yang berkabus diluar, sungguh dingin
sehinggakan Murni terpaksa menghidupkan alat pemanas di dalam bilik tidurnya. Alat
pemanas yang selalunya hanya menjadi perhiasan, tetapi malam ini alat itu
terkejut kerana dipaksa menjalankan tugas. Tugas yang sudah lama tidak
dijalankannya. Nasib baik masih lagi berfungsi.