Bab
7
Bergegas Hanna bangun, apabila dia melihat
jam di skrin telefon menunjukkan waktu. Berkali-kali diteleknya seperti tidak
percaya. Janjinya hendak bertemu Adi jam 10 pagi di Bahnhof Zurich. Kini dia
sudah tersasar dari waktu yang sepatutnya. Dia cuma ada 20 minit untuk bersiap.
Dia terlewat bangun. Itulah padahnya jika tidur semula selepas subuh. Semalam sampai Zurich sudah
hampir jam 12.00 tengahmalam. Nasib baik sempat mengambil tram yang terakhir, itu
pun nasib baik mereka sampai dua minit awal, sebelum tram tiba. Jika terlewat
dua minit itu, mereka terpaksa menunggu bas yang dipanggil moonliner, bas khas
yang hanya beroperasi selepas jam 1.00 pagi. Tujuan bas itu adalah bagi membawa
penumpang yang hendak pulang selepas bersosial di pubs, nightclub atau
penumpang yang terlalu mabuk dan tidak layak untuk memandu pulang.