Bab 11
Di pejabat Didi gelisah bagaikan kucing
kehilangan anak. Serba tak kena. Di skrin computer Didi terbayang wajah Johan
bersama perempuan-perempuan, sedang enak sahaja menjamu selera. Bila Didi
membuka fail, wajah-wajah itu juga yang muncul. Apa sahaja yang Didi buat, tayangan
yang sama tetap muncul. Sebenarnya, Didi yang mengulang tayang wajah-wajah itu
difikirannya. Sekejap-sekejap menelek jam di pergelangan tangan. Rasanya waktu
terlalu panjang. Mahu rasanya Didi memutar sendiri jarum jam agar cepat tiba
waktu pulang. Sudah tidak sabar mendengar apa yang akan dijawab Johan kepada
soalannya nanti.
Didi pulang sebaik sahaja habis waktu
bekerja, petang itupun kerana tidak berapa sebok. Kerja memang ada yang belum
selesai, tetapi boleh sahaja dilakukannya dengan baik keesokkan harinya. Lebih
baik dilakukan esok dari dia menghabiskan kerja tanpa berhati-hati kerana
fikirannya dipenuhi dengan soalan yang bakal ditanya kepada suaminya. Petang
ini Didi pulang pun tidak memberitahu Atirah seperti selalu. Namun Tirah faham,
temannya sedang runsing. Dia tidak boleh berbuat apa-apa, ini melibatkan
rumahtanga orang.