Bab8
Di
Malaysia
“Bang, macammana
agaknya kita hendak dapatkan duit beli tiket si Amy dan budak-budak tuh?” tanya
Mona si ibu.
Tidak tergamak dia
melihat Pak Aminuddin, yang sedang memandang jauh keluar. Silap-silap lamunan sudah
menyeberang Lautan Hindi!
Hanya keluhan
yang didengarnya. Dari bunyi keluhan Mona tahu, lamunan si suami tidak pergi
jauh, hanya berlegar-legar di rumah teres dua tingkat yang telah mereka diami
hampir separuh abad. Mona juga tahu si suami sedang pening. Pening memikirkan, dimana
hendak di cekau duit tambang kapalterbang satu hala buat Amy dan anak-anaknya untuk
di bawa pulang ke Malaysia. Bukannya sikit, bukannya seratus dua, malah
mencicah tujuh ribu!
Pihak Kedutaan
sudah memaklumkan kepada mereka bahawa, perbelanjaan pembelian tiket pulang
adalah di bawah tanggungan keluarga, pihak Kedutaan hanya menguruskan pembelian
dan penghantaran pulang sahaja.
Pertolongan
pihak Kedutaan sehinggakan Si Amy dan anak-anak tidak dikenakan penjara sudah
cukup membuat Pak Aminuddin sekeluarga bersyukur.
“Duit simpanan
pencen abang tak cukup, Mona.. pening juga memikirkannya. Nantilah abang
ikhtiarkan cara lain. Hendak tanya anak-anak kita yang lain dulu, manalah tahu
mereka adik beradik boleh bantu untuk tampung sikit-sikit tiket pulang kakak
mereka.” Lemah sahaja Pak Aminuddin, menjawab.
Merancang dan berharap
apa yang dirancangkannya itu berhasil. Sedangkan dia tahu, anak-anak yang lain,
bukannya senang, hanya cukup untuk keluarga mereka masing-masing. Tetapi
manalah tahu! Harapan masih ada, walaupun harapan hanya cuma sebesar habuk..
Sejenak
Aminuddin terhenti bernafas. Wajarkah dia bersusah payah memerah otak untuk
menyediakan tiket kapalterbang kepada si anak yang satu waktu dahulu pernah
melukakan hatinya? Bukan setakat melukakan hati dirinya malah merobek hati
isterinya! Malu, usah dicerita! Satu kampung bebau dengan berita anak perempuan
si Aminuddin lari dengan jantan ke luar negara!
Mahu tidaknya
malu?
Mana hendak
disorok muka ketika itu!
Sudahlah dirinya seorang yang disegani, kerana
dia seorang pegawai kanan kerajaan, yang hampir di umur bersara waktu peristiwa
itu berlaku. Sehinggakan ada bunyi-bunyi sumbang yang mahu melantik dirinya
oleh orang kampung untuk menjadi penghulu!
Tetapi sayang,
peristiwa yang berlaku, mengubah persipsi orang kampung. Bagaimana hendak menjaga hal ehwal orang
kampung, hendak menjaga seorang anak perempuanpun tidak pandai!
Waktu itu Pak
Aminuddin tersangat marah dengan si Amy. Mahu rasanya dibunuh sahaja si anak
seandainya berada di depan mata. Namun mana mungkin! Dia sudah menghilangkan
diri bersama kekasih hati. Gara-gara cintanya mendapat tentangan dari keluarga.
Mana tidaknya, keluarga Amy yang tidak tahu latar belakang malah asal usul si
lelaki. Mereka perlu tahu itu semua, bukan sekadar main serkap sahaja, janji
anak perempuannya kahwin… bukan, bukan begitu untuk mencari pasangan!
Kena pula bila
Amy menyuarakan yang dia akan mengikut bakal suami ke negara asal bakal suami.
Lagilah gundah hati si ibu dan bapa. Akibatnya perhubungan mereka ditentang
keras kerasan. Ditambah pula sekarang ini banyak kesah yang didengar, dimana
perempuan yang dikahwini di jual sebagai pelacur, malah ada yang dijadikan
hamba abdi, ada juga yang hanya digunakan sebagai pembawa dadah, keldai dadah…
nauzubilah!!
Seriau Pak
Aminuddin memikirkan seandainya berlaku kepada anak perempuannya.
Pak Aminuddin
hairan, anak perempuannya bukannya calang-calang, belajar tinggi, berjawatanpun
pegawai. Bolehkan buta matanya oleh cinta kepada lelaki yang tidak sampai
setahun dia kenal. Itupun kenal tidak sengaja, sewaktu si jantan keparat
tertinggal telefon bimbit sewaktu mereka berurusan di bank.
Amy sanggup
meninggalkan keluarga hanya dengan mengirim pesanan ringkas yang menyatakan
yang dia sedang dalam perjalanan ke lapanganterbang menuju ke Afrika Selatan
untuk bernikah dengan si jantung hati. Semua sudah diuruskan oleh si jantan
keparat dengan menggunakan wali hakim… wajarkah Amy berbuat demikian? Bukankah
wali yang sah masih hidup, mengapa pula menggunakan wali hakim?
Jawabnya, Amy
dan pasangan boleh menggunakan wali hakim kerana Afrika Selatan melebihi dari 2
marhalah, yakni lebih kurang 92 kilometer. Malah sudah entah beratus marhalah
jauhnya!
Akhirnya Pak
Aminuddin terpaksa akur dan merestui hubungan tersebut. Tidak mahu si anak
berada di dalam dosa sepanjang perkahwinan mereka. Rela di dalam terpaksa
melepaskan anak perempuannya yang satu ini, walaupun banyak perkara dan
persoalan yang terbuku di dada..
Amy.. Amy
kenapalah kau degil sangat!!
Pak Aminuddin
mengetapkan bibirnya. Nasib baik giginya tumpul, jika tidak mahu si bibir
pecah.
Aminuddin cuba
mengkuis flashback kesah-kesah silam yang mampu membuat dia geram. Yang paling
ditakuti, kesah-kesah silam itu mampu merobah perancangannya untuk membawa Amy
dan anak-anak pulang!!
No comments:
Post a Comment