Terlebih rajin... layan aje la..
BAB 2
Terbayang aku dengan kesah Camelia,
budak perempuan yang aku ambil sebagai anak angkat oleh kerana amanat. Amanat
dari seorang teman yang tidak dapat aku tolak kira-kira 23 tahun yang lalu.
Anak malang yang kehilangan kedua ibu bapanya, hanya dalam sekelip mata. Kata-kata
gurauan yang terakhir oleh arwah Sumayyah, ibu Camelia rupanya menjadi kenyataan,
aku ingatkan hanya mainan lidah Maya sahaja, rupanya tidak, ia betul-betul menjadi
kenyataan. Kenyataan yang amat berat untuk aku terima hakikat kebenarannya.
Kecelakaan menimpa mereka sewaktu
mereka pulang dari berkunjung ke rumah ku. Musibah yang meragut nyawa mereka
dan hanya Camelia yang terselamat dari kecelakaan itu. Lia menjadi yatim
piatu
sekelip mata. Itulah kata orang tua-tua, kanak-kanak sentiasa dilindungi
malaikat. Kereta mereka remuk di bawah lori bersama dua mangsa, tetapi Lia
ditemui terhumban di tepi semak yang hanya mengalami cedera ringan. Itulah
tersurat kesah hidupnya, hanya sekejap dapat bermanja dengan ibu bapa yang
dikasihi. Keratan akhbar mengenai kemalangan itu masih ada di dalam album yang
aku simpan. Tetap aku simpan dengan baik bersama-sama semua photo kenangan aku
bersama kedua-dua arwah. Aku juga turut menyimpan semua gambar Camelia, sejak
dari hari pertama menjadi anak ku sehingga Lia menamatkan pengajiannya di
menara gading di dalam album yang sama.
Lia selalu menyelaknya, untuk
mengenang apa yang berlaku. Setiap kali album diselak, setiap kali juga air
matanya bergenang, begitu juga air mata ku. Mata ku basah tanpa perlu di minta,
air mata keluar dengan sendirinya. Terutama apabila setiap photo dapat aku
imbas degan jelas di kotak ingatan. Bagaikan mereka masih berada di sisi.
Aku masih ingat kata-kata gurauan Maya
untuk meminta aku menjaga Camelia jika apa-apa berlaku kepada diri mereka. Petang itu, Nazri dan Maya nampak sungguh
ceria, tidak nampak sedikitpun kelainannya dari kunjungan terakhir mereka dengan
kunjungan mereka yang lepas-lepas. Mereka memang kerap mengunjungi aku, sengaja
untuk merapatkan Camelia dengan diriku, kata mereka. Hebat perancangan mereka.
Petang itu aku sambut permintaan Maya
dengan jawapan bergurau sambil bergelak ketawa. Aku berjanji akan menjaga
Camelia seperti anak aku sendiri, tetapi sebenarnya, jawapan aku hanya satu gurauan,
hanya mainan lidah semata-mata. Mana mungkin Maya akan menyerahkan anaknya
kepada aku. Bukannya dia ada empat atau lima orang anak yang tidak mampu dia
jaga, yang dia ada hanya Lia seorang. Walaupun aku memang kawan rapat mereka. Namun
Maya nampak serious dengan kata-katanya. Berulang-ulang kali dia mengingatkan
aku. Aku agak hairan, namun aku tetap menganggapkan kata-katanya hanya sebagai
satu gurauan. Yang hairannya Nazri, suaminya tidak membantah langsung, hanya
asyik tersengeh sahaja. Itulah Nazri yang aku kenal, lelaki yang tidak suka banyak
bercakap. Bercakap hanya jika perlu sahaja.
Memang aku, Sumayyah dan Nazri sudah
kenal lama. Satu sekolah sejak dari sekolah rendah sehingga ke sekolah
menengah, maklumlah kami dari satu kampung. Malah rezeki melanjutkan pelajaran
di Universiti Putra juga bersama. Cuma apabila bekerja yang kami terpisah, aku bertugas
di Hospital Haiwan di Bangi dan mereka pula memilih kerjaya sebagai Pensyarah
di Universiti Sains di Pulau Pinang. Tambahan pula jodoh mereka sampai cepat.
Tidak sampai setahun bekerja, mereka sudah bersedia untuk berumah tangga.
Lain pula halnya dengan diriku, yang masih single and available di waktu itu. Malah tidak pula cuba mencari-cari
pasangan. Aku biarkan sahaja jodoh dan pertemuan yang ditentukan olehNya. Baik
ajelah aku jalankan tugasku sebagai doktor Veterinar di Klinik Haiwan Bangi sebaik
yang mungkin. Tambahan pula aku terikat dengan Kerajaan yang telah membantu aku
membiayai yuran pengajian aku selama 5 tahun di Universiti dahulu yang perlu
aku lunaskan. Pemberian sumbangan kepada emak dan abah di kampungpun baru
beberapa tahun sahaja mereka merasa. Biarlah lama sedikit mereka merasa
sumbangan darikku. Aku takut bila sudah berumahtangga nanti lain pula jadinya. Ekonomi selalu meleset. Itu yang aku
tahu dan perhatikan dari pengalaman kawan-kawan dan rakan setugas di hospital. Jika sudah berkeluarga, agak sukar hendak
memberi sumbangan kepada orang tua.
Daripada bersosial tidak tentu arah, lagi
seronok aku tumpukan hobiku. Aku memang suka menulis. Menulis tentang apa
sahaja, tidak kiralah merapu atau meraban, asalkan hati aku puas kerana dengan
menulis aku dapat meluahkan isi hati aku di dalam bentuk penulisan semahunya. Tidak kesahlah dari kesah sebenar
atau dari hayalan aku semata-mata. Asalkan isi cerita yang aku tulis itu mantap
dan menarik. Coretan juga tidak bersangkut paut dengan sesiapa, sama ada yang masih
hidup ataupun yang sudah mati. Tetapi selalunya coretan yang aku tulis
benar-benar berlaku kepada diriku. Cuma diolah sedikit agar lebih menarik dan
difahami oleh pembaca. Tidak mahu pula aku terover, menceritakan yang
bukan-bukan. Biarlah logik diterima oleh akal manusia.
Berbalik semula kepada kesah si Camelia.
Dia, aku jadikan anak angkat sewaktu usianya setahun lebih. Baru bertatih, baru
hendak belajar berjalan ketika itu. Dengar cerita dari arwah Nazri, arwah Sumayyah
menamakan anaknya Camelia, kerana lagu Camelia oleh Kumpulan Sweet Charity amat
popular tatkala itu. Suara serak-serak basah, Ramli Sharif, penyanyi utama
kumpulan itu yang telah menarik minat arwah Sumayyah, sehinggakan menamakan
anak mereka Camelia. Entah apa-apa arwah memilih nama anak, nasib baik nama
Camelia itu nama sejenis bunga, jika makna lain yang bermaksud tidak baik, bukankah
haru si Camelia menjunjung nama itu seumur hidupnya! Aku geleng kepala
mengingatkannya. Arwah.. arwah..
Tetapi yang paling best, aku menjadi
seorang ibu di waktu aku belumpun berkahwin. Malah di usia aku yang muda lela,
baru mencecah 25 tahun ketika itu. Tetapi angka umur begitu diwaktu itu, sudah
dikatakan andartu, anak dara tua.
Teringat juga aku, betapa aku
ditentang hebat oleh keluarga aku dengan keputusan aku bersetuju untuk
mengambil Camelia sebagai anak angkatku. Mahu tidaknya ditentang oleh mereka!
Apa akan jadi dengan masa depanku. Pastinya tidak ada lelaki yang berani
mendekati aku. Mereka pasti menyangka yang aku sudah bersuami kerana sudah
mempunyai anak, atau mungkin juga menyangka aku seorang janda beranak satu. Yang paling ngeri, pasti juga mereka yang tidak tahu asal usul cerita,
akan membuat conclusion yang aku
sudah terlanjur. Sebagai
menutup malu, aku mengatur anak aku sendiri dengan menjadikan dia anak angkat
aku sendiri, nauzubillah. Tetapi itulah hakikat sebenarnya yang akan difikirkan
oleh masyarakat sekeliling. Dan perkara-perkara sebeginilah juga yang amat
ditakuti oleh kedua ibu bapa aku ketika itu. Mereka takut aku dicemuh dan
dihina. Akhirnya aku akan menjadi anak dara tua, seperti Penulis British Jane
Austen tu. Pengarang novel The Pride and the Prejudice, Little Women, Emma, Sense and the
Sensibility dan banyak lagi. Dia pandai
menulis novel-novel cinta, tetapi hakikatnya dia tidak kahwin sehingga akhir
hayatnya.. Tragis, sungguh tragis. Adakah aku akan menjadi seperti si penulis
British ini? Wallahualam.. kuasa di tangan ALLAH, dia yang menentukan dan mengatur perjalanan hambanya,
termasuk aku.
Namun itu semua aku tolak tepi. Janji aku kepada arwah Sumayyah
tetap akan aku tunaikan. Camelia memang sudah tertulis menjadi anakku. Amanat itu
akan aku laksanakan seperti yang telah aku janjikan, walaupun tidak ada saksi
mahupun kertas akujanji yang telah disahkan oleh peguam. Tetapi sudah diatur
oleh ILAHI yang maha berkuasa. Perjalanan hidupku sudah tertulis mempunyai anak
instant, tanpa perlu berkahwin atau
mengandung. DIA lagi maha mengetahui akan pecaturan hidup hambanya, Amin….
No comments:
Post a Comment