Saya terlupa tempel lagu Kak Pah..saya rasa belum terlambat dan saya tempel di bab ni..
BAB 4
Aku masuk semula ke dungeonku, bilik
study dan terus mengetuk semula keyboard komputer. Jari ini gatal sahaja hendak
menekan abjad-abjad yang tersusun di papan kekunci itu. Laju pula jari-jari tua
ini menekan abjad. Bukan belajar atau berkursus menaip di mana-mana kelas,
tetapi disebabkan berpuluh-puluh tahun digasak kerana terpaksa membuat report,
dan juga kerana sudah menulis empat buah novel yang tebal, melebihi 600
mukasurat. Hasilnya jari-jari itu
seperti mengenal jari mana yang harus menekan abjad yang mana. Aku pandang ke hujung
kakiku, si Ginger yang sedang lena. Bila aku perhatikan, bukannya dia tidur,
hanya sekadar menutup matanya dengan beralaskan kaki depannya yang berbulu
lebat. Ekornya bergerak, terliang liuk. Kucing yang sudah berusia 7 tahun
menjadi teman setia itu aku usap kepalanya. Dia menganga dan kemudian
meneruskan semula aktiviti malasnya.. tidur.
“Ginger…beri ibu idea hek..tolong
ibu, ginger rasa nak tambah plot apa? ” kata ku kepada binatang yang tidak
mengerti bahasa manusia.
Dah tua-tua ni, kepala sudah loose
sekeru ke apa? Mana kucing mengerti bahasa manusia? Aku bukannya Dr. Dolittle,
doktor haiwan yang boleh mengerti bahasa binatang, walaupun aku juga seorang doktor
haiwan. Tapi manalah tahu, Ginger yang sejak berumur 3 bulan aku jaga, boleh
mengerti apa yang aku cakapkan? Tambahan pula aku selalu berbual dengannya.
Tidak aku kesah jika dia tidak mengerti atau tidak, asalkan aku dapat bersuara
daripada senyap seperti patong cendana, berdiam diri tanpa bersuara
berhari-hari, betul tak? Andainya dia menjawab perbualan ku, mahu pengsan aku
dbuatnya. Tahu-tahu berita kucing berbual dengan tuannya menjadi berita utama
di akhbar tabloid Kosmo.
Terdengar jelas azan maghrib dari
surau di hujung blok. Sudah maghrib rupanya. Aku menutup komputer dan berjalan
longlai ke tingkat atas untuk menunaikan apa yang wajib. Usai maghrib aku turun
semula dengan niat mencari ilham. Hari ini tidak banyak yang dapat aku
coretkan. Otak beku, tidak memberikan idea. Hanya beberapa helai coretan
sahaja, itupun karekter yang bukan-bukan. Silap-silap haribulan apabila
di edit nanti hanya tinggal satu helai coretan sahaja.
Hisy..idea
hilang hari ini, nasib baik kunjungan dari Lia sekeluarga sedikit sebanyak
dapat menghiburkan hatiku, terutama dengan telatah si kecil Sandra.
Baru
beberapa bulan aku bersara awal, aku sudah tidak tahu apa yang hendak aku
lakukan. Bagaimanalah agaknya akan aku hadapi jika sudah bertahun-tahun menjadi
seorang doktor haiwan pencen. Orang masih lagi bekerja di usia 50 tahun, malah
ramai yang sanggup bertugas sehingga berusia 60. Tetapi aku mengambil keputusan
untuk menamatkan perkhidmatan aku. Cukuplah rasanya aku berkhidmat selama lebih
dari 28 tahun berkhidmat untuk negara. Walaupun tidaklah banyak mana
perkhidmatan cemerlang yang mampu aku sumbangkan. Cukup-cukupla..
Walaupun
sudah bertahun-tahun aku fikirkan untuk bersara, ingin berehat sahaja di rumah
dan selebihnya membuat amal ibadat untuk bekalan akhirat disamping menulis apa
sahaja yang terlintas di kepala aku.
Aku
sudah tidak ada apa-apa yang hendak ditanggung. Daniel, anak lelaki ku sudah
mengambil keputusan untuk bermastautin di Switzerland setelah berumahtangga
dengan Easter Reinhard, rakyat Swiss, beberapa tahun lalu. Delailah, anak
perempuan ku pula bertugas sebagai jururawat di hospital Kota Kinabalu baru
sahaja berumahtangga. Kini mengikut suaminya Colonel Mirza seorang pegawai
tentera yang bertugas di Sabah. Yang ada tinggal, itulah Camelia, anak
angkatku, dialah yang rajin menjengok aku. Dan sesekali kunjungan dari anak anak buah atau saudara mara. Alhamdulillah,
ada juga mereka mengintai aku.
Namun begitu, kedua-dua anak-anakku
tidak pernah lupa menghubungi aku. Dunia sudah canggih, semua boleh berhubung
hanya di hujung jari. Aku dan mereka berhubung melalui facetime telefon atau
skype. Sumbangan bulanan buat diriku juga tidak pernah mereka abaikan, walaupun
aku tidak pernah meminta. Bagi ku sudah lebih dari cukup dengan pencen bulanan
seorang pensyarah arwah suami ku dan kini pencen bulanan aku sendiri. Ditambah
pula dengan royalty novel yang turut menambah sumbangan kepada pendapatan
bulanan ku.
Apa
yang aku hendak lagi, sebuah rumah teres dua tingkat lot tepi sudah lama
langsai, dibayar sebagai tempat aku berteduh. Dua buah kereta, bukanlah kereta
mewah, kedua-duanya kereta buatan Malaysia. Kereta inilah yang telah banyak
berjasa, telah menjadi kenderaan aku untuk ke mana-mana sahaja. Walaupun
bukanlah model kereta yang terbaru, sudah cukup buatku. Sebuah kereta Myvy
pemberian hadiah dari ketiga-tiga anakku sebagai menggantikan kereta Proton
Perdana hitam arwah suamiku yang tidak sanggup aku jual, walaupun sudah berusia
lebih dari 10 tahun. Aku puas hanya dengan melihat kereta itu terpakir did epan
rumah. Banyak kenangan aku bersama arwah suami yang ingin aku kekalkan di minda
tua aku ini.
****
Aku
ke dapur memanaskan lauk yang telah dibekalkan oleh Lia petang tadi. Masak
lemak pisang muda dan ayam goreng berempah. Enak sahaja nampaknya masakan Lia.
Camelia memang pandai memasak. Aku tidak pernah mengajarnya memasak, tetapi
minatnya dan juga mewarisi bakat dari Maya arwah ibunya, agaknya.
Periuk
nasi eletrik aku tekan, sementara menunggu nasi masak, aku duduk di sofa dan
membuka televisyen untuk mendengar berita jam 8. Berita semasa dan berita dunia luar perlu juga
aku tahu. Jangan pula nanti tidak mengetahui apa yang sedang berlaku di sekeliling
dan isu semasa. Aku geleng kepala apabila di kaca TV menyiarkan kancah politik
di negara sendiri, sama hebatnya dengan kancah politik di luar negara. Kesah
pergolakan Syria, Mesir dan Palestin, seperti tidak ada penghujungnya. Apalah
hendak jadi dengan dunia yang sudah tua ini. Dunia yang semakin hancur, ganas
diperlakukan oleh penghuninya sendiri.
Entah berapa lamalah agaknya bumi yang sudah rakus dibinasakan ini akan
bertahan!
Aku geleng kepala, hendak buat macam
mana? Lagi moden dunia ini, lagi hancur jadinya.
Aku berjalan menuju ke dapur apabila
aku terdengar bunyi periuk nasi sudah memberitahu tugas memasak nasi selesai.
Segera aku mengisi nasi ke dalam pinggan dan duduk di kerusi di mana lauk sudah
terhidang bersama secawan air masak. Siaran TV masih bersuara dan dapat dilihat
dari meja makan, cuma tidak sejelas duduk di sofa. Jadilah, dengar suara dan
sedikit pergerakan, janji aku tahu apa yang hendak disampaikan. Suapan aku atur
dengan perlahan dan bersyukur dengan rezeki aku hari ini, Alhamdulillah.
Gulai lemak pisang muda aku kunyah
perlahan. Lauk kampung ini mengingatkan aku kepada seseorang. Arwah suamiku.
Kenapalah aku asyik terkenangkan dia sejak akhir-akhir ini walaupun sudah 7
tahun dia pergi meninggalkan aku. Sedangkan aku tidak pernah lupa
menghadiahkannya al-fatihah setiap solat, mahupun setiap kali hati aku berdetik
mengingatinya. Dia pergi meninggalkan aku yang belum puas berkasih sayang
dengannya. 20 tahun berkongsi kasih, rasaku terlalu singkat. Tetapi Ilahi lebih
menyanginya. Dia pergi tanpa aku duga. Menjadi mangsa langgar lari. Sehingga
kini tidak diketahui siapakah yang bertanggungjawab di atas kemalangan itu.
Yang pasti ianya meragut beberapa nyawa termasuk arwah suamiku. Sekali lagi aku
redha, redha dengan pemergian orang tersayang. Sudah sampai ajalnya.
“Abang, Lyna rindu abang..“
terkeluar suara hatiku, dengan air mata bergenang dimata.
Aku sapu air mata dengan belakang
tangan. Tidak baik
mengeluarkan air mata dihadapan rezeki. Aku tenung gulai pisang.. air mata aku tahan dari
keluar.
“Gulai lemak..kerana gulai lemak
pisang muda ini aku terikat denganmu“ bisik hati kecilku.
****
Gulai lemak pisang muda membawa aku mengelamun
jauh ke waktu silam..
Teringat aku insiden 23 tahun lalu,
dibulan September, tarikh tepat tidak aku ingat.
“Lia.. !” lembut sahaja aku
memanggil Lia, tetapi Lia tetap berlari meninggalkan aku yang sibuk hendak
mengambil barang di dalam kereta dan menguncinya.
“Lia… Lia sayang, jangan berlari nak
nanti jatuh” tegurku kepada Lia yang sedang terkedek-kedek berlari untuk
memasuki lif yang sudah terbuka, selepas aku mengambilnya pulang dari taska.
Lia, budak perempuan yang berusia
tidak sampai dua tahun dan baru beberapa bulan di bawah jagaan ku. Bukannya dia
tidak faham, tetapi tahu sahajalah kanak-kanak, suka bermain lif. Lif memang
sudah terbuka, hanya menunggu untuk aku dan Lia masuk rupanya. Lia sudah berada
di dalam lif.
“Terima kasih encik..” kata ku
apabila melihat lif tersebut sudah ada penghuni rupanya. Seorang lelaki yang
menjinjing beg kerja. Lelaki bertubuh kurus tinggi, berkemeja lengan panjang
cream dan berseluar bellbottom hitam. Rambutnya yang sedikit kerinting nampak
tersisir rapi. Bukanlah kerinting halus tetapi hanya sedikit kerinting dan
beralun. Air mukanya nampak bersih serta berkulit sawo matang. Jambang yang
berfesyen sewaktu itu juga nampaknya dijaganya kemas. Dia yang menahan butang
lif rupanya, agar aku sempat naik sama. Nasib baik dia menuggu aku, jika tidak
mahu nanya, Lia sudah naik ke atas tanpa diri ku.
Lia terus aku pimpin dan tangan
sebelah lagi cuba menekan angka 8, tetapi jari ku terhenti dari menekan buang kerana
butang nombor 8 kerana ianya sudah sedia menyala. Aku toleh ke arah lelaki itu
yang hanya menumpukan pandangannya ke arah lampu lif. Aku tidak pernah bertemu
dengan lelaki ini, penghuni baru agaknya. Nampak gayanya lelaki itu juga akan
turun di tingkat 8, sama setingkat dengan aku. Aku yang sarat dengan beg
bekalan Lia serta beg tangan, membuatkan
aku agak susah mengawal Lia yang ingin bebas tidak mahu dipimpin. Orang baru
dapat kaki, memang hendak berjalan sahaja, tidak mahu didukung.
Lelaki itu menoleh, mungkin perasan
dirinya diperhatikan. “Anak ke?” tanyanya.
Hanya anggukan yang aku berikan.
Kenapa? Salah ke kalau si kecil itu anakku. Bisik hatiku. Geram pula dengan
soalannya.
“Hendak menguratlah tu“ bisik hati
kecilku.
“Hisy aku ni.. nak menguratkan apa?
aku dah ada anaklah?“ sekali lagi hati aku berkata-kata. Lalu tersenyum sendiri
aku.
“Beri saya beg besar tu.. kita turun
di tingkat yang sama..” katanya lagi ingin membantu.
Amboi
hendak berbudi pula dia. Tidak takutkah nanti lebam biji mata ditumbuk suami
perempuan yang cuba dibantu. Kan sudah tahu, perempuan itu sudah ada anak, jika
ada anak pasti ada bapa kepada budak tersebut.
“Tak
apa. Terima kasih.. “ jawab ku cuba jual mahal tidak mahu menerima bantuan
konon. Lagak seperti bodoh sombong sahaja. Sebenarnya aku malas hendak
terhutang budi dengan sesiapa, nanti banyak soalan yang aku kena jawab. Daripada bersoal jawab, lebih baik
jangan terhutang budi dengan sesiapa.
Mata ku asyik memandang kepada
butang lampu lif yang menyala dari satu tingkat ke satu tingkat. Tidak aku
sedari rupanya Lia sudah memimpin tangan si lelaki itu.
Aduh
Lia! Itu bukan ayah. Mungkin kerana Lia sudah terbiasa memimpin tangan ummi dan
ayahnya setiap kali berjalan. Segera aku leraikan tangan Lia.
“Maaf..encik”
jawabku sepatah.
Dia
hanya pandang dan senyum. Terima kasih aku ucapkan di dalam hati kerana
memahami itu hanya kerenah anak-anak.
Segera
aku kelek Lia, walaupun agak sukar dengan dua beg. Satu perlu dijinjing, dan
satu sudah terselepang di bahu.
“Puan,
beri saya bantu puan, bukankah kita
turun sama tingkat?..” ulangnya lagi seperti mendesak.
“Ting..”
bunyi lif memberi isyarat sudah sampai di tingkat 8
Mahu
tidak mahu, aku terpaksa juga menerima pertolongan lelaki itu. Malu juga kerana
tadi konon tidak mahu terhutang budi. Hendak jual mahal konon. Tetapi sombong
bodoh sebenarnya.
“Unit
mana?” tanyanya lagi.
“808”
jawabku pendek.
“Laaa..saya
810.. sebelah aje..kita ni, berjiran rupanya” katanya dengan senyuman.
Manis
pula aku lihat wajahnya apabila dia tersenyum.
Dia
tersenyum tetapi aku mengerutkan muka apabila dia menyebut unit 810. Memang
unit 810 hanya bersebelahan dengan unit aku. Sudah dua tahun aku menyewa di
apartment ini, tetapi tidak pernah pula aku tahu yang lelaki itu jiran aku. Setahu
aku, jiran sebelah unit aku itu, ialah kak Rozi dan abang Marzuki sekeluarga. Kemana
pula mereka pergi, tidak pula aku dengar yang mereka sudah berpindah? Baru kelmarin aku nampak Joey anak
lelaki mereka pulang dari sekolah. Yang lelaki ini siapa pula?
Lia aku turunkan tetapi tangannya
masih aku pimpin, aku tidak mahu entah apa pula lagi yang akan dilakukan oleh
budak terlebih cerdik ini. Tangan meraba-raba ke dalam beg tangan, mencari
kunci rumah.
“Terima kasih..” ucap ku setelah dia
meletakkan beg bekalan Lia betul-betul di hadapan aku. Dia hanya tersenyum dan
terus menyeluk poket beg yang dijinjingnya dan mengeluarkan kunci terus masuk
ke unit 810. Sah, nampaknya lelaki itu penghuni baru unit tersebut. Yang aku
hairan, kenapa kak Rozi tidak beritahupun mereka sudah berpindah? Setahu aku,
unit tersebut milik mereka, bukannya menyewa seperti aku. Hisy.. misteri betul.
Kak Rozi sudah jual unit tu agaknya. Yang aku hendak pecahkan kepala fikirkan
perkara itu buat apa? Bukannya lelaki itu memecah masuk, dia ada kunci. Jadi
apa masalahnya lagi!.
Aku pun bukannya selalu keluar.
Hidup aku hanya di hospital haiwan dan rumah. Dan kini sejak ada Lia, sekali
sekala aku ke taman permainan jika ada kelapangan. Membawa Lia bermain di sana.
“Ahhh.. pedulilah siapa yang duduk
di unit itu, janji dia tidak menganggu aku” bisik hati kecil ku. Tetapi hati
ini jahat pula, masih hendak berkata-kata. Wahai hati, biarkanlah sahaja, bukan
ada kena mengenapun dengan diriku.
No comments:
Post a Comment