Di
Malaysia
Tangan Mona
ligat membungkus nasi lemak yang sudah dipesan oleh pelanggan. Amboi, skill
kemahirannya masih utuh. Cantik dan kemas lipatannya, walaupun nasi sudah
ditambah dengan sebiji telur dan satu keratan rendang ayam. Amy tersenyum melihat
emaknya yang gigih memastikan bungkusan daun pisang tidak pecah.
Hendak harapkan
Amy membungkus! Sebungkuspun dia mengambil masa hampir dua minit! Mana boleh?
Setiap saat penting, untuk menjaga hati pelanggan. Tambah-tambah hari pertama
berniaga. Jika asyik terbelek-belek, memikirkan cara membungkus yang baik, buat
pembeli tertunggu-tunggu, mahu mereka cabut weh!
Alamatnya, esok
gerai nasi lemak tidak dibuka, kerana pelanggan lari.
Itulah pasal,
yang gatal mahu nasi berdaun pisang bagai! Bukankah senang guna bekas plastik
bertutup. Bau daun pisang masih ada, malah lebih cepat. Ceduk nasi, taruh
sambal dan yang lain-lain, akhir sekali tutup. Mudahkan!
Tetapi pelanggan
tidak mahu, mengada-ngada, mereka masih mahu mengekalkan tradisi, nasi lemak
bungkus daun pisang.
Teringat Amy
konsep kitar semula bekas yang ditontonnya di Majalah 3 baru-baru ini.
Maksudnya, bukan yang menggunakan bekas-bekas terpakai digunakan semula.
Maksudnya, pembeli sendiri yang membawa bekas mereka sendiri dan penjual hanya
perlu mengisi nasi dan lauk mengikut kemahuan pelanggan. Kelebihannya, pelanggan boleh terus makan di
gerai atau membawa pulang makanan lebihan jika tidak habis.
Bukankah ini
lebih praktikal?
Malah lebih
jimat dan tidak membazir, betul tak?
Biasalah, perkara
yang baik memang susah hendak dijadikan ikutan. Jika mahu menjadi ikutan, kena
diviralkan dulu… Itulah kuasa alam maya.
Viral ah!
Cik Amirah, cuba
simpan dulu apa sahaja cadangan awak tu!
Sekarang ini
perlu pantas membungkus nasi lemak dengan daun pisang. Jangan pandai-pandai
pula hendak menggunakan bekas pakai buang. Bekas itu yang melambak di tempat
pembuangan sampah, malah lambat lupus. Tidak seperti daun pisang yang lupus
dalam masa yang singkat.
Nampak tu!
Itulah kelebihan menggunakan pembungkusan cara traditional.
Tetapi
penggunaan bekas yang dibawa oleh pembeli sendiri itu memang patut digalakkan.
Bilalah agaknya pelanggan akan mulakannya?
“Kak, tak cukup
lagi sebungkus?” kata seorang remaja yang menunggu di hadapan Amy
“Ye ke dik? Ada
berapa kat dalam beg plastik tu” tanya Amy lantas cepat-cepat membungkus satu
lagi.
“Ya kak, saya
pesan lapan bungkus. Yang ada tujuh je ni” katanya. Berkerut-kerut mukanya,
kerana soalan Amy meragukan dirinya sendiri. Sekali lagi dikiranya.
Akhirnya dia
puas hati, memang kurang satu bungkus lagi.
Terus Amy
menghulurkan satu bungkus lagi mencukupkan bilangan yang kurang.
Itulah pasal!
Asyik leka berangan. Nasib baik tidak berangan mendapat untung yang banyak
setiap hari agar menjadi jutawan nasi lemak. Supaya boleh duduk sebaris dengan
Dato’ Vida, Putih Qu Putih, Barulah Putih!!
Berangan seperti
itu masih boleh dilayan lagi, jangan berangan seteruk Mat Jenin. Itu sudah
parah.
***
Amy sebok
mengira hasil jualan. Dia mengasingkan wang note kertas dengan duit syiling.
Plap, plup bunyi
duit kertas yang dikira berkali-kali, hanya untuk memastikan setiap longgokan
bernilai rm10, Begitu juga duit syiling, sudah disusunnya bagaikan Menara Buj
Khalifa, setiap longgok juga bernilai RM10.
“Mak, RM340.00
hasil jualan kita hari ini. Syukur. Ini belum tolak modal. Semalam Amy beli
barang RM72, tidak termasuk beras” kata Amy kepada Mona yang duduk
dihadapannya.
“Cukupkan RM100
untuk modal, termasuk gas masak” jawab Mona.
“Amy ambil RM100
modal dan RM100 lagi untuk modal esok.
Tinggal RM140, mak RM70 dan Amy RM70”kata Amy lagi.
“Bolehlah,
syukuralhamdulillah.., “jawab Mona sambil tangan mencapai wang yang dihulur
oleh anaknya, lalu diciumnya.
Rezeki ALLAH
sudah aturkan bagi dirinya, rezeki kepulangan anak dan cucu-cucunya.
“Amy beli barang
sebelum ambil budak-budak dari sekolah nanti. Emak rehatlah, penat tadi Amy
nampak emak. Sudahlah bangun awal pagi..”kata Amy, tiba-tiba rasa simpati
kepada emaknya.
“Tak pe Amy! Mak
sudah biasa. Jika tidak berniagapun Mak sudah bangun. Sekurang-kurangnya
sekarang ni ada hasil sikit”jawab Mona
“Emak tengok
budak-budak tu pandai makan pedas. Bukan main lagi mereka makan nasi lemak pagi
tadi”tanya Mona
“Dia orang sudah
biasa mak. Di sanapun masakan orang Melayu Cape sama saje dengan masakan kita.
Cuma resipinya lebih kepada cara orang Indonesia. Tapi tulah, kalau sudah
rantau nusantara, kemana-mana sama sahaja. Bahannya rempah, cili, santan!”jawab Amy
“Sesekali Amy
masaklah masakan Cape, Teringin pula mak”kata Mona, mahu juga dia mengetahui
rasa makanan selain dari makanan melayu yang biasa.
Amy senyum
“Boleh,
insyallah” jawab Amy
Pandaikah si Amy
memasak masakan Melayu Cape. Tujuh tahun di sana, tentu sudah pakar, jangan
berdolak dalik kata tidak tahu pula.
Sungguh, Amy
banyak belajar memasak masakan di sana, semata-mata untuk memenuhi selera dan
menambat hati suami. Memikat hati suami melalui perutnya. Kononnya.
Tetapi apabila
jodoh tidak panjang, pikatlah bagaimana carapun, tetap akan terlerai kasih jua.
Yang pastinya,
Amy sudah mendapat ilmu tambahan dengan mengetahui masakan orang Melayu Cape.
Ilmu yang berguna seumur hidupnya. Akan dipraktikkan sesekali agar dapat
mengingatkan anak-anaknya bahawa salasilah keturunan mereka masih tertinggal di
Afrika Selatan.
Itu janji Amy
kepada dirinya, dia tidak sama sekali akan mengikis keseluruhan tradisi asal
usul anak-anaknya. Separuh darah yang mengalir di badan mereka, masih mengalir
darah lelaki dari negara bekas apartheid itu.
Tengok tu! Di
dalam hatinya masih tertinggal cebisan Afrika Selatan yang Amy tidak kikis.
Amy! Lurutlah
perasaan itu dan buang jauh-jauh. Sudah tidak ada keperluannya lagi untuk
dikenang.
Betulkan begitu?
Sedangkan tempat
jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat derita…
No comments:
Post a Comment