Dulu coretan ini bertajuk "September", kita dah tukar ya..
Saya dah edit bagi ceria sikit.. perasan..
BAB 1
“Hello.. Hello…Salam sejahtera, Apa khabar
pendengar di luar sana.. ahh.. okey! diharap masih lagi setia bersama saya mendengar
lagu-lagu nostalgia yang merdu dengan bait-bait cinta di dalam lagu yang akan
saya siarkan bagi santapan telinga pendengar yang setia pada pagi ini.
Okey! Saya
pasti lagu ini akan dapat membuat pendengar tersenyum apabila mendengarnya.
Saya juga pasti kakak-kakak atau abang-abang pendengar di luar sana masih ingat
lagu ini?
Terkenang saya
dengan lagu ini, saya sangat teruja dengan iramanya, walaupun sewaktu itu saya masih
di sekolah rendah. Waktu lagu ini berada di carta kemuncak. Lagu ini
mengimbaskan kenangan saya bersama teman-teman sekolah pada setiap bulan, tidak
semestinya hanya kenangan indah di bulan September kannnn?
Untuk para
pendengar, saya hidangkan dengan lagu “Kenangan indah di bulan September”…
nyanyian Dato’ Syarifah Aini. Lagu yang menjadi hits satu ketika dahulu.. di
penghujung tahun 70an.. layaaaaan!“ celoteh pengacara radio berkumandang.
Panjang pula celotehnya,
itulah, mereka bukan boleh diberi peluang bercakap. Dendangan lagu hanya
memakan masa paling lama tiga minit, tetapi pendengar terpaksa mendengar celoteh
mereka lebih dari lima minit.
Aku tersenyum. Hendak hairankan apa? Sudah namapun
juruhebah, hendak buat macammana? Mereka di bayar untuk berceloteh, kenalah menjadi
juruheboh!
Terhenti sejenak dari menaip menuskrip. Jari
terhenti tiba-tiba dari mengetuk huruf di keyboard. Kaku,.apabila radio yang ku
pasang online di komputer memperdengarkan lagu yang pernah aku puja satu ketika
dahulu. Satu ketika yang telah lama aku tinggalkan, lebih kurang 25 tahun yang
lalu. Memang benar seperti yang dikatakan oleh pengacara radio siaran “Gemersik
Kalbu” tersebut. Satu-satunya siaran radio yang memutarkan lagu-lagu hits lama
yang sudah boleh dianggap sebagai lagu-lagu nostalgia. Bersiaran bagi
pendengar-pendengar di era itu, termasuk aku. Setiap rangkap bait lagu aku
dengar dengan senyuman, alunan iramanya bagaikan membawa aku melayang jauh 25
tahun kebelakang..zaman remaja dan zaman sewaktu akuk muda lela… ah.ah..ah..alangkah
indahnya!!
Di dalam hati turut menyanyi
bersama-sama Dato’ Syarifah Aini, sudah hafal liriknya. Hanya mampu menyanyi
perlahan atau hanya di dalam hati, kerana sedar suaraku sumbang. Terfikir aku,
kalaulah cekap menghafal Al-Quran sama seperti menghafal lagu, alangkah
baiknya. Tetapi malang, jika Al-Quran, memang liat hendak dihafal. Sebaris
ayat, diulang berpuluh kalipun masih tidak dapat dihafal. Tetapi jika lagu,
selagi dengar sudah ingat, boleh siap humming lagi tu… banyak betul syaitan
yang bergayut di telinga ya?
Dendangan lagu terus berkumandang
dengan irama rancak, alunan suara Dato’ Syarifah Aini yang lunak dan nyaring.
Hayla Kak Pah!!
“Ku masih ingat Perkenalan ku di bulan
September, September
Kau merenungku
Dan mengukir senyum mesra
Padaku, padaku
Perkenalanku kini semakin erat
Saling bertemu
Melepas rasa rindu
Dibelai-belai
Dikucup-kucup mesra
Rambutku, pipiku
Aku terlena
Terbuai dalam pelukan
Mesramu, mesramu
Hati riang gembira
Tiada terkira
Terasa dunia ini kita yang punya“
Senyuman masih tidak lepas. Dapat
dibayangkan di era itu di mana, seluar bellbottom, mini skirt, hot pants
menjadi fesyen. Memang ngeri, jika mini skirt tu, hanya tinggal beberapa inci
sahaja sudah boleh nampak seluar kecik. Itu jika dipakai, jika tidak tentu
nampak aset yang paling berharga tu.. hemmm. Nauzubillah!! Yang hairannya mereka masih merasa selesa
memakainya.
Rambut pula potongan afro look, china doll, wet
look dan entah apa-apa look lagi yang menjadi ikutan. Afro look yang sudah seperti sarang tebuan.
Penyanyi pujaan barat, seperti penyanyi John Travolta, Black Sabbath, Kiss,
Duran Duran, Bee Gees, Carpenters, Olivia Newton John dan banyak lagi artis
barat yang menjadi pujaan. Artis tanah air pula, berderet senarainya seperti
Syarifah Aini, Broery Marantika, Hetty Koes Endang, Adam Ahmad, Hail Amir, Uji
Rashid, Rina Hashim, Sweet Charity dan banyak lagi. Ramaipun artis-artis di era
tersebut sudah pulang ke rahmatullah. Selalunya komposernya ialah Ahmad Nawab. Memang
laku sangat Ahmad Nawab ketika itu, setiap lagu ciptaannya pasti hits. Entah ke
mana agaknya komposer terkenal ni ya! Aku memikirkan hal orang yang tidak
sepatutnya aku fikirkan. Bukannya dia saudara aku, atau kawan aku, malah bukan
keluarga. Saudara seislam adalah..
Berbalik semula kepada fesyen di era aku membesar. Kali ini,
mengenai kasut, kasut pula tu, memang tebal dan berat, bagai tembok besar
negeri China sahaja. Jika dibaling anjing mahu anjing tidak sempat menyalak,
pasti mampus.
Hampir semua perempuan freehair, tidak bertudung. Jika ada yang bertudungpun hanya segelintir,
itupun sedikit, boleh dibilang dengan jari. Selalunya mereka adalah pengikut Al-Arqam
yang hanya beberapa kerat sahaja. Malah mereka dipandang serong oleh masyarakat
sekeliling. Perempuan bertudung hanya boleh dilihat ketika majlis kahwin, majlis rasmi atau jika ada kematian. Itupun
tudung yang semi pro sahaja, yang nampak rambut di depan ala-ala jambul atau
sekadar meletakkan tudung di kepala sebagai syarat. Harapkan sanggul aje yang
besar ditutup dengan kain tudung yang nipis atau jarang.
Di zaman itu, bukan kerana
masyarakat cetek pengetahuan agama, malah ramai ahli-ahli sufi dan ahli-ahli
ugama. Punca utama adalah kerana pengaruh persekitaran dan global. Semua ingin
dilihat atau dipandang modern. Jika tidak, diri dikatakan kolot. Penerapan
nilai Islam tidak dipraktikkan sepenuhnya, namun tetap menjaga tata susila dan
adap ketimuran.
Masih lagi anak menghormati kedua
ibu bapa mereka.
Masih lagi anak murid menghormati
guru mereka.
Masih lagi pekerja menghormati
majikan mereka.
Masih lagi penjual jujur kepada pembelinya.
Dan masih lagi rakyat menghormati
pemimpinnya.
Acara keagamaan tetapi dilaksanakan
dengan baik. Sama ada Tilawah Al-Quran, atau majlis-majlis ilmu yang lain.
Yang hairannya, di zaman tersebut,
amat kurang berlakunya jenayah. Kejadian rogol amat
jarang didengar, satu atau dua kejadian sahaja. Kejadian buang anak, langsung
tidak berlaku. Jika adapun hanya kes-kes terpinggir, yang tidak dilaporkan.
Jenayah dadah, langsung tidak ada. Kesah kena ragut, ugut atau bunuh lagilah
tidak didengar langsung. Mungkin ada berlaku, tetapi ianya tidak dihebahkan.
Aku dapat bezakan dengan jelas di zaman aku remaja dengan di zaman
anak atau anak cucu ku remaja. Amat jauh berbeza, memang jauh, ibarat seperti langit dengan bumi. Zaman
sekarang sudah tidak selamat. Buka sahaja pintu, penjenayah sudah
memerhati..Kita sentiasa berada di dalam ketakutan. Sangsi dengan semua orang.
“Kau kan jadi teman hidupku
Sayangku selalu ku nantikan
Takkan hilang
Kenangan manis bagiku
Kau tunjukkan
Kasih sayangmu selalu
Ku gembira Sayangku selalu ku nantikan
Takkan hilang
Kenangan manis bagiku
Kau tunjukkan
Kasih sayangmu selalu
Berdamping denganmu
September selalu kunantikan
Ku nanti-nanti
Selaluku nanti-nanti
September denganmu“
Dendangan Dato’ Syarifah Aini sudah dipenghujungnya,
namun senyuman aku masih di bibir. Bagaikan sudah di glue senyumanku oleh glue
cap gajah.
“Kecing..kecing..kecing..” bunyi
kasut kanak-kanak yang semakin hampir kedengarannya. Aku mengalihkan pandangan
aku ke arah bunyi kasut tersebut. Sudah aku tahu siapa yang baru sampai menjengok
ku. Sudah biasa dengan kunjungan mereka di petang petang hujung minggu begini.
Tidak beberapa minit kemudian ku
lihat seorang anak kecil yang terkecek-kedek dek pampasnya tersarung tebal
membuat punggungnya seperti punggung itek donald duck, itek animasi Walt Disney
dengan kasut berbunyinya menapak laju ke arahku.
Si kecil Casandra berlari ke dalam
pelukanku apabila dia melihat aku sudah sedia mendepakan tangan menunggunya
untuk menyambutnya ke dalam pelukanku. Aku masih tersengeh seperti kerang
busuk, tersengeh tak sudah dengan dendangan lagu Kak Pah tadi belum habis, kini
ditambah dengan kehadiran si kecil.
Radio masih lagi berkumandang, kini
diikuti dengan dendangan nyanyian kumpulan D’lyod ”Cinta Hampa” selepas lagu Kak
Pah, tetapi tidak aku perdulikan. Sedangkan lagu itu tidak kurang hebatnya, di waktu
itu. Pandai pula juruheboh ini, di waktu-waktu begini, dia menyiarkan lagu-lagu
yang meruntun jiwa. Namun kehadiran Sandra lebih menceriakan diri ku.
“Ahhh..Sandra, ummi mana?..” tanya
ku, kedua belah pipi mongel itu aku kucup bertalu-talu. Sandra membiarkan
sahaja diperlakuan sedemikian. Kemudian kedua tangan kecil itu memegang
keduabelah pipiku. Aku sungguh terharu dengan perbuatan si kecil ini. Anak mata
hitam Sandra ku renung. Bukannya dia faham, dan sudah tentunya soalan aku tidak
mendapat jawapan.
Sudah biasa agaknya dia diperlakukkan
sedemikian. Aku bukan orang pertama yang akan berbuat demikian jika bertemu
dengan kanak-kanak secomel Casandra. Usahkan aku, neneknya yang geram, orang
asing yang mereka tidak kenal yang mereka jumpa di mall atau di mana-mana juga
geram dengan anak ini, sampaikan ada yang mencuri-curi untuk mencuit pipi comel
Casandra. Anak ini cukup package untuk menjadi kanak-kanak comel. Berwajah
bulat dengan pipi yang gebu, bermata bulat dengan alis mata yang lebat, mulut yang
kecil serta merah, ditambah pula dengan rambut lebat berwarna hitam yang lurus.
Rambut yang direpang di dahi oleh umminya, hanya cukup-cukup di atas alis
kening untuk sepasang mata bulat, besar dan bundar. Itulah
wajah Casandra, cucu ku. Comelkan?
Dia kemudiannya meronta minta dilepaskan. Rimas agaknya diperlakukan
sedemikian. Kemudian aku lepaskan, dia berlari pula ke arah umminya yang sedang
mara tersenyum ke arah aku. Dia berjalan ke bilik study, di mana aku berada.
Nasib baik Sandra yang muncul dahulu, bukan Camelia, ibunya. Jika Camelia yang
muncul dulu, nampaknya sudah pasti aku tertangkap mengelamun, mengimbas kesah
silam, hanya kerana dendangan sebuah lagu, terkantoi!
“Assalamulaikum Ibu.. bu buat
apa tu.. menulis novel lagi ke?” tiba-tiba terdengar suara Camelia nyaring.
Dari luar bilik sudah boleh
didengar. Tidak beberapa saat, muncul wajah Camelia. Segera menghulur tangan dan dia
terus mengucup di kiri dan kanan pipiku.
“Ha..ah nak buat apa lagi kalau tak kat
depan komputer ni..?” jawab ku dengan satu jawapan dan satu soalan.
“Halim mana?“ tanyaku apabila aku
tidak melihat kelibat Halim, bapa si Casandra.
“Ada.. ada kat depan tu.. bu! entah apa
yang dibeleknya, tadi Lia nampak dia tengah tengok gate kat depan.. katanya
kalau dia rajin dia hendak cat semula gate tu.., cat yang lama dah mengelupas…nampak
sangat dah lama tak dicat, itulah sebab dia hendak cat semula...” jawab Lia,
panjang lebar.
Tangannya menarik sebuah lagi bangku
untuk duduk dekat dengan ku yang masih duduk menghadap skrin komputer.
“Ibu masak apa hari ini..“ tanya Lia
“Makan apa ajelah Lia..“ jawab ku.
“Tuuu.. ada Lia bawak lauk sikit, Lia
dah bubuh kat atas meja dapur nun..” sambung
Lia lagi.
Matanya memandang ke skrin komputer
di sebelah ku. Sandra dibiarkan di sebelahku.
Aku hanya diam, memang Lia selalu
membawa bekalan lauk yang dimasaknya setiap kali mengunjungi ku.
Aku biarkan Sandra meleser di sisiku,
bagaikan seekor anak kucing parsi yang meleser untuk minta dimanja dan dibelai.
Ialah, kanak-kanak berumur dua tahun, apalah yang mereka tahu, bercakappun
belum dapat menyebut perkataan dengan jelas, masih baby words. Minumpun masih
menggunakan botol susu. Buang air juga masih lagi di dalam seluar.
Sandra aku angkat dan aku dudukkannya
di atas pangkuan ku, mengadap sama ke arah skrin yang masih menyala dengan
coretan cerita yang sedang cuba aku olah ceritanya. Bukan dia fahampun
abjad-abjad yang tersusun indah di dalam skrin. Agaknya dia mengingatkan,
abjad-abjad itu cacing-caing yang tersusun di atas layar putih.
Idea tidak muncul pula, sudah berapa
kali diulang-ulang membaca coretan yang ada, tidak ada penambahan plot, masih
plot yang sedia ada, cuba diubah sedikit ayat dan diperbaiki mana yang ada,
jika mempunyai typo error.
“Tak apalah Lia, cakap aje dengan
Halim, nanti ibu upah aje budak-budak yang mahu buat kerja.. ni.. tapi ahhh… memang ibu hendak
minta tolong dia sikit. Ibu ada nak mintak Halim tolong tengok wiring telefon
tu, line wifi, ibu rasa ada yang tak kena, selalu susah nak dapat line. Masalah
coverage ke atau wire..terputus-putus..ibu rasa pasal fius box kut..ataupun ada
connection yang dah putus, susah ibu nak browse internet..hemm” jelas ku kepada
Lia, anak angkatku, agar dapat meminta Halim, suaminya melihat apa yang patut. Aku
tahu Halim pastinya tahu masalah yang dihadapi kerana dia seorang juruteknik di
Tenaga Nasional.
“Apa cerita novel ibu kali ni.. yang last time tu, Lia baca dua
kali, not bad jugaklah ibu mengarang.. lain dari yang lain. Tak ada kesah
kahwin paksa yang melambak-lambak kat pasaran. Dah naik muak dah dengan lambakan
cerita kahwin terpaksa tu..kalau tidak tu, kesah anak orang miskin kahwin
dengan anak orang kaya. Orang miskin yang terlalu miskin dan yang orang kaya
pulak tu yang sombong dan yang tidak ingat dunia. Kaya terlebih-lebih, macam
tak masuk akal aje. Mulalah tu, dah nak jadi macam cerita Hindustan pulak,
mula-mula suka, lepas tu sedih tapi last-last suka balik…macam dah tahu aje
ending ceritanya..cuma tak ada plot menari kat railways track aje, kalau ada,
confirm cerita hindustan” panjang lebar pula Lia memberi pendapatnya.
Agaknya dia selalu memberi komen di dalam
blog-blog penulisan. Aku tidak boleh bersetuju dengan komennya kerana aku seorang
penulis. Mungkin pembaca juga akan membuat remarks yang sama seperti yang
diberikan oleh Camelia, manalah aku tahu kepada karya-karya aku. Aku tidak
dapat memantau seratus peratus komen dari pembaca.
“Ibu tak nak buat sequel kepada
kesah si Murni dan si Zamri tu ke?..atau ibu buat cerita anak dia tu pulak.. siapa nama dia? Hem..Mila.. ya..ya.. Mimi Sharmila..” sambung Lia
lagi, memberi pendapat.
Dia sendiri tanya dan dia juga yang
memberi jawapan. Aku sengeh. Lebih-lebih pula kata-kata memuji sedangkan aku
tidaklah sehebat mana.
“Lia jangan puji lebih-lebih pulak..
ibu menulis ni, saja suka-suka tau?, bukan apa pun. Bukan
sedap manapun coretan ibu. Bukan pasal nak dapat royalty. Duit pencen ibupun
dah cukup Alhamdulillah, tuhan beri rezeki untuk tampung hidup ibu hari-hari.
Nak jadi popular macam Jane Austen, Nora Roberts atau Jackie Colins tu tak
mampulah ibu. Nak jadi pengarang yang kaya raya macam Danielle Steel dan JK
Rolling lagilah tak payah, dalam mimpi bolehlah. Itu authors mat saleh dan yang
dah famous. Nak bersaing dengan penulis tempatan macam Aisya Sofia, Ramli Awang
Murshid, Hlovate, Siti Rosmizah pun ibu tak mampu… lagi-lagilah pengarang yang
berpengalaman macam Usman Awang dan Hamka. Ehh.. ibu ni melalut pulak, nak
bersyarah pasal buku, entah-entah Liapun malas nak dengar, ia tak tu..” kata ku
sambil tersenyum ke arah Lia yang memandang macam berminat sahaja lagaknya dengan
kata-kataku, entah-entah sudah bosan giler hendak menghadam apa yang hendak aku
sampaikan.
Jika aku bercerita pasal angka
dan wang, mungkin menarik minat pada dirinya, kerana Lia seorang pembantu
akauntan. Sengaja tidak mahu mengecewakan aku gamaknya.
Aku sayang anak ni, tidak sia-sia aku menjaganya sejak dari dirinya
sebesar Sandra. Dia
muncul ke dalam hidup ku kerana terpaksa. Dia terpaksa, aku juga terpaksa.
Terpaksa oleh kerana sebuah amanat. Amanat yang aku ingatkan hanya gurauan atau
mainan bibir, rupa-rupanya menjadi kenyataan. Namun aku bersyukur di atas
kehadiran Camelia yang aku panggil Lia dalam hidupku. Anak yatim piatu yang
sudah tersurat untuk mengembirakan dan menceriakan hidupku. Syukur
Alhamdulillah..Ya ALLAH.
4 comments:
Salam sis.tak update ke coretan tentang 30 jam saat indah bersamamu.sy follow cerita tu.hehehe
Dah siap beberapa chapter baru. Lepas cerita ni, kita start cerita 30 jam pula ya?
tahniah sis.. buku ni sy dah beli. best !
terima kasih Nur Azian..
Post a Comment