BAB 7
Pagi Sabtu yang indah, Lia terover baik,
hanya duduk bermain dengan mainan yang ada di dalam playpen yang tidak jauh
dari pandangan mataku. Aku pula sibuk menyediakan apa yang patut untuk aku
masak. Aku hendak berlagak menjadi Jimie Oliver sekejap. Dian tidak ada di
rumah, dia sudah memberitahu aku yang dia akan terus pulang ke kampungnya,
terus dari pejabat semalam. Rembau,
dekat sahaja, bukannya Kelantan atau Terengganu. Jika hendak berulang dari
sanapun boleh!
Ligat tangan aku menyediakan masak lemak pisang muda dan ayam goreng
berempah. Manakala dessertnya pula, aku sediakan kueh ketayap. Inti kelapa
sudah aku sediakan malam tadi, sewaktu Lia sudah tidur. Aku hanya perlu
menyediakan kulitnya sahaja hari ini. Sebelum jam 12 tengahari aku sudah
bersedia dengan lauk-lauk yang aku masak, tersusun di dalam bekas pakai buang
yang telah aku beli kelmarin. Sengaja aku membeli bekas-bekas itu agar, dia
tidak perlu memulangkannya kembali bekas-kebas itu kepadaku.
Kelentang kelentung aku memasak, kenalah bising sedikit, barulah tahu
yang ada anak dara memasak, Chis! perasan. Selesai memasak aku siap kemaskan
dapur. Masak cincai bocai sahaja. Sementara Lia leka bermain aku mengambil
kesempatan untuk ke rumah sebelah. Sesampai di depan pintu, aku
teragak-agak hendak mengetuk pintu unitnya. Di fikiran terlintas,
tertanya-tanya betulkah apa yang aku buat ini. Sudah di saat akhir masih lagi
berfikir-fikir. Masih ada masa
untuk aku menarik balik rancangan brilliant aku ini. Di dalam kepala, sekejap
memberi maklumbalas meminta aku meneruskan sahaja, tetapi kemudian terlintas
pula agar tidak meneruskan. Ishy.. yang mana satu!
Sedang teragak-agak hendak mengetuk pintu, aku terkejut, pintu terbuka
dengan tuan rumah berdiri tegak. Matanya bulat, terkejut melihat aku. Aku pun
terkejut juga, nasib baik tidak terjatuh bekalan yang di dalam beg plastik yang
sedang aku jinjing.
“Ehh.. cik Lyna..kenapa? apa hal? Lia ada apa-apa ke?” tanyanya,
meleret-leret sampaikan soal Lia pula, yang tidak ada kena mengena langsung.
Dia ingat betul dengan namaku dan juga nama Lia. Aku sahaja yang masih
tercari-cari namanya. Tidak patut betul aku ni.
“Siapa tu Mi..” terdengar suara seorang perempuan dari dalam rumah. Aku
terkejut. Yang aku tahu, itu bukan suara kak Rozi, tetapi jelas suara seorang
perempuan.
Aduh! kan aku dah kata, dia sudah ada isteri. Kan dah memalukan diri
sendiri. Soalannya yang meleret itupun tidak sempat aku jawab.
“Jiran sebelah..” jawabnya.
Hemm.. memanggil aku dengan panggilan jiran sebelah, bukan dengan
namaku.
Sedangkan memang dia selalu menyebut namaku. Sah lelaki ini misteri,
atau curi-curi mengatal takut diketahui isteri.
“Apa hal? ajaklah dia masuk.. “
sambung suara perempuan itu dari jauh.
Amboi! Punyalah baik isterinya, siap jemput aku masuk lagi…
“Encik.. maaf, saya nak hantar ni aje, lauk
saya masak untuk Encik sebab tolong saya.. saya tak tahu isteri Encik ada sama
Encik hujung-hujung minggu ni…” aku tersipu-sipu malu.
Dia kerut muka, namun masih membiarkan aku menghabiskan kata-kataku.
“Lagi pun saya tak boleh lama.. anak saya
tinggal sorang-sorang tu..” sambil jari menunding ke dalam rumahku setelah dia
menyambut beg plastik berisi lauk tanpa berkata apa-apa. Dia tercengang.
Dia masih tegak berdiri seperti patong
cendana, mungkin masih terkejut dengan kejutan aku memasak untuknya atau apa,
aku tidak tahu. Sedangkan dia sudah ada tukang masak yang sedang sibuk di dapur
khas untuk dirinya.
Aduh hancus..hancus..itulah rancangan yang
paling memalukan. Itulah rancangan yang kononnya paling terbaik difikirkan,
rupanya itulah rancangan yang paling memalukan.
Aku terus berjalan pantas, tanpa mampu melihat riak wajahnya, terus
masuk ke rumahku dengan hati berdebar-debar. Yang paling aku risau bertemu muka
dengan isterinya yang bersuara sebentar tadi. Di fikiran aku cuba hendak
memikirkan bagaimana cara aku hendak mengelak dari bertembung dengannya lagi.
Lebih baik aku menjauhkan diri darinya kerana aku takut. Bukan takut dengannya,
tetapi takut dengan diriku sendiri. Takut aku yang akan terjatuh, terjatuh hati
dengan suami orang.
****
Aku mulakan hariku seperti biasa. Pagi ini aku merasa lega kerana, aku
tidak bertembung dengan jiran ku lagi. Dia takut diketahui oleh isterinya akan
apa yang berlaku sejak beberapa hari ini agaknya. Aku tersenyum, tahu
takut…takutkan bini..
Aku gigih membawa Lia ke kereta tanpa bantuan sesiapa. Aku buckle
Lia di car seat depan dan mula menghidupkan engine. Kemudian aku terperasan ada sehelai kertas
terselit di wiper di hadapan ku. Apa ajelah, orang hendak meletak iklan
gamaknya. Pagi-pagi buta sudah mengedarkan flyers. Aku keluar semula kerana
ingin menarik keluar flyers tersebut dari mengganggu pandangan ku, nanti bahaya
untuk aku terus memandu kerana menghalang sedikit pandangan di cermin hadapan. Kertas yang terselit di wiper aku
rentap. Aku ambil dan aku baca.
“Cik Lyna, Terima kasih, sedap lauk pisang tu..hujung minggu ini senang
tak? Saya tak pandai memasak, jadi saya nak balas” bulat mata aku
apabila membaca coretan kertas tersebut.
Eh.. bukannya flyers, tetapi nota. Alahai, nota dari jiran sebelah
rupanya. Nampak gayanya dia tidak putus asa. Awalnya dia keluar hari ini, takut
terkantoi dari isterinya, agaknya. Tetapi masih berani memberi nota. Siap
hendak ajak dating lagi, hendak balas makan konon. Dasar lelaki tidak boleh
dibuat suami! Kasihan si isteri yang sebok melayannya, tapi suami hidung
belang. Apa.!. dia ingat aku hendak menjadi kekasih gelapnya ke? Sorry, No Thank you.
Aku geleng kepala.. hampeh punya jantan,
sudah ada bini di rumahpun masih mahu menggatal ke? Jika hendak buat affair pun janganlah dengan
jiran sebelah rumah? Memang dia hendak cari nahas jawabnya?
Apa-apa pun aku tidak akan masuk perangkap kau, wahai cik abang berambut
kerinting! Jika ini berterusan, aku akan bersemuka dengan isterinya, agar dia
berhenti untuk berbuat baik dengan aku semata-mata kerana ada udang disebalik
mee. Itulah lelaki, nampak seperti lelaki baik-baik, harapkan rupa wajah aje
macho dan innocent tetapi rupanya bertanduk!!!
****
Lia aku pimpin, menunggu di depan pintu lift sudah hampir 10 minit
tetapi lampu yang menyala tetap di tingkat 10 tidak bergerak-gerak. Lif yang di
sebelahnya juga tidak bergerak, tetap di nombor 4. Rosak ke atau ada orang yang
menahan lif tersebut dari bergerak di tingkat 10 dan 4. Jika rosak, nampaknya
aku terpaksa menumpamg dengan mengguna lif kargo. Jarang orang menggunakan lif tersebut
kerana kecil dan agak tersorok di hujung bangunan. Di hati berkata-kata juga,
ngeri dan takut jika hanya dua beranak sahaja di hujung bangunan tersebut.
Tetapi jika lif rosak, pasti ada juga penghuni lain yang akan menggunakannya
kan? Jika hendak menapak naik tangga sampai ke tingkat 8 dengan mengendung Lia
dan barang..ishy.. mahu lengguh lutut nanti. Kalau sudah sakit lutut, siapa
pulak yang hendak mengurut! Aku jugak yang akan tanggung sendiri, tak mahu aku.
Mahu tidak mahu, aku terpaksa mengheret Lia menuju ke hujung bangunan.
Seperti yang aku sangkakan, memang sudah ada beberapa batang tubuh manusia yang
sudah terpacak di depan lif kargo. Aku senyum, rupanya aku seorang sahaja yang
tertipu dengan lampu lif yang menyala tetapi tidak bergerak. Sudah
terang-terang lif rosak. Tetapi pekerja maintanance tidak pula meletak notis di
depan pintu lif, memberitahu yang ianya rosak! Sebaik sahaja pintu lif kargo
terbuka aku meloloskan diri dengan Lia aku kelek. Perlahan pintu lif tertutup,
tiba-tiba dihalang oleh kaki seseorang. Semua mata menghala ke arah pintu lif.
Kasut lelaki. Kurang asam betul!
Pintu lif terbuka semula, seorang lelaki
masuk bersahaja. Semua mata tertumpu ke arah lelaki yang berlagak kuat itu.
Manalah lif tidak rosak, jika perbuatan menghalang lif begini kerap berlaku.
Dilakukan oleh penghuni-penghuni yang tidak sabar. Perlahan pintu lif tertutup
semula. Aku sibuk mengalih beg bekalan Lia agar semua penumpang lif ada ruang.
Lif kargo hanya boleh muat untuk 6 orang. Kini sudah ada 4 orang, tidak
termasuk Lia yang masih kategori bayi. Setiap tingkat lif akan terbuka. Aku
tidak merungut kerana lif berhenti disetiap tingkat, namapun lif kargo.
Tentulah akan berhenti disetiap tingkat. Sabar ajelah. Asalkan aku tidak perlu
menapak menaiki tangga, sehingga ke tingkat 8 mak oii.. Mahu lenguh kaki aku,
siapa hendak urut?
Terbuka di tingkat 2, mata ku bulat.
Memandang seorang insan yang berdiri, menunggu pintu lif terbuka luas,
cepat-cepat dia melangkah masuk.
Alamak, berdiri encik abang berambut kerinting,
jiranku. Tersenyum dia melihat
aku sudah berada di dalam lif. Pandangan aku arahkan ke siling. Sampai di
tingat 6, penghuni lif hanya aku, Lia dan jiranku.
“Dapat note saya..?” cuba membuka bicara. Aku hanya angguk dua kali.
“Bila senang sudi tak keluar dengan saya..” tanyanya lagi, amboi-amboi
perkataan keluar dengannya. Aku hanya senyum terpaksa.
Biarkanlah dia sahaja yang bersuara. Sebenarnya aku tidak ada jawapan
lagi untuk perkara itu. Apabila lif sampai di tingkat 8, dia pandai-pandai sahaja
mencapai beg bekalan Lia dan menjinjingnya terus keluar. Dia juga meregang lif
untuk membiarkan aku keluar dengan selesa. Hendak berlagak gentleman pulak
dah..
“Jangan lama-lama beri jawapannya..” kata-katanya apabila meletakkan beg
bekalan Lia di depan pintu unit rumah ku.
Aku masih dengan angguk dua kali ku dan ucapan terima kasih yang ku
ucapkan perlahan. Entah kenapa aku jadi pendiam pula tiba-tiba.
Masing-masing dengan kunci yang sudah di grill, tiba-tiba dia berpaling.
“Oh.. ya..Cik Lyna, semalam Kak Rozi kirim salam..” beritahu ku.
Kak Rozi.. betulke yang aku dengar, dia sebut Kak Rozi? Jadinya betullah
kak Rozi dan abang Marzuki masih menghuni rumah itu. Apa hubungannya dengan kak
Rozi. Tetapi ke mana mereka sekarang ni, kenapa pula mamat ini yang ada bersama
seorang wanita lain. Joey tidak sekolah ke? Banyak pula soalan mengenai kak
Rozi yang bermain di kepala ku. Kehadiran lelaki betul-betul memenatkan otak
aku, kerana terpaksa memikirkan halnya yang sepatutnya tidak perlu aku
fikirkan.
Salam kak Rozi aku jawab berlahan. Jiranku sudah bersedia hendak
meloloskan diri untuk masuk kerumah.
“Eh..eh..awak!..sekejap!! kak Rozi sekeluarga pergi mana?” akhirnya aku
tidak perlu menjadi pendiam lagi. Inilah masa yang terbaik untuk mengetahui
misteri ketiadaan jiranku kak Rozi sekeluarga.
Terjegul semula kepala si rambut kerinting di
depan pintu unitnya.
“Ya..cik Lyna.. apa dia?” tanyanya.
“Saya tanya, kak Rozi, kak Rozi sekeluarga
pergi mana?” tetapi tangan masih menolak pintu untuk membiarkan Lia masuk.
“Kak Rozi dengan abang pergi umrah sambil
ziarah, tiga minggu.. cik Lyna tak tahu ke?” sinis sahaja jawapannya.
Manalah aku tahu, jika kak Rozi tidak
beritahu. Lagipun bukannya aku
selalu bertembung dengan kak Rozipun. Yang utama aku bukan jiran yang kepoci,
suka ambil tahu hal orang lain. Aktiviti aku sendiri dan ditambah dengan
aktiviti bersama Liapun buat aku tidak menang tangan. Mangkok betul cik abang
ni dengan jawapan dan soalan sekali gus. Jawab ajelah, bukannya susah, tidak
kena bayarpun jika jawab cara baik. Hendak perli aku buat apa? Buat aku marah
lagi adalah! Namun aku kena sabar.. Sa..bar,,
“Tak.. kak Rozi tak beritahu pun, mana dia orang pergi. Bila dia orang
balik?..” wah..wah.. dah jadi panjang pula soalannya. Yang tadi hanya hendak tahu
ke mana Kak Rozi dan keluarga berada, dan kini hendak tahu bila balik pula. Lepas
ni, soalan apa pulak?
“Dua minggu lagi, 8 September” jawabnya.
Aku angguk tanda faham. Perlukah aku tanya,
apa hubungannya dengan kak Rozi, atau bolehlah aku menunggu lagi dua minggu
untuk bertanya sendiri dengan kak Rozi. Yang aku kira lebih baik, dari bertanya
sendiri dengan cik abang yang berdiri di depan pintu unitnya.
“Thanks..” katanya ku dan berlalu masuk untuk memantau Lia. Cukup-cukuplah
aku bersembang dengan si rambut kerinting buat masa ini. Bagus juga aku masuk
dahulu sebelum isterinya pulang dan nampak si suami berbual dengan aku, jiran
perempuan yang sudah beranak satu. Pasti difikirannya yang aku ini janda
beranak satu kerana dia tidak pernah melihat kelibat suamiku. Tetapi aku lebih
kuatirkan dirinya, kerana aku kuatir nanti ada pinggan dan belanga yang terbang
melayang di dalam rumah, atau silap-silap ada beg pakaian yang terletak di
depan pintu untuknya..!!
No comments:
Post a Comment