Bab 13
Pemanduan pulang
dirasakan cepat sekali, aku sampai awal ke apartmentku.
Memandu pulang
dengan hati riang, berbunga-bunga. Hati penuh dengan bunga, termasuk bunga tahi
ayam…turut menumbang warna dan aroma. Tak sedar masa beredar, tahu-tahu aku
sudah sampai di lot pakir apartmentku.
Aku perhatikan lot pakir masih banyak lagi yang
kosong. Sah aku terawal sampai pulang ke Kuala Lumpur minggu ini, kerana ramai
lagi yang masih dalam perjalanan pulang menghabiskan cuti hujung minggu di kampung
masing-masing agaknya. Terus sahaja aku memakirkan keretaku. Lokasi yang paling
hampir dengan lift, bukan senang mendapat pakir yang paling dekat dengan lift,
hot spot.
Itulah manusia, sudah mudah, lagi mahu mudah, jika
boleh dipakir terus di dalam lift lagi baik. Tekan butang terus sampai depan
rumah. Keluar sahaja kereta beberapa langkah sudah sampai ke dalam rumah.
“Hisy.. apa
pulak aku mengarut ni..“ aku tepuk pipi ku agar sedar dari memikirkan yang
bukan-bukan yang tidak berfaedah. Perkara yang tidak mustahil, manalah tahu,
ada orang yang berotak geliga yang akan memikirkan system ini di masa hadapan.
Kereta di pakir di hadapan pintu setiap unit apartment. Pasti unit apartment
ini laku giler. Tidak perlu fikir masalah tidak cukup tempat pakir!
Aku paling ke sebelah.
Lia sedang pulas lena.“Comel..“ bisik
aku perlahan, agar tidak mengganggu lena Lia. Itulah, memerhati seseorang
kanak-kanak yang sedang lena, memang membangkitkan satu perasaan yang tidak
dapat digambarkan. Perasaan gembira. Kemudian aku terfikir, susahlah aku kali
ini, nampaknya aku kena hantar Lia dahulu dan kemudian turun semula untuk
mengambil barang barang yang lain.
Tidak mengapa, bukannya jauh manapun, lagipun
menggunakan lift. Jika turun naik tangga lainlah.
Aku membuka pintu disebelah dan Lia aku mendukung.
Terkial-kial, pergerakan yang aku lakukan perlahan-lahan agar dia tidak
tersedar.
“Cik Lyna, biar saya dukung Lia..” terkejut aku
apabila suara yang menyapa dari belakang. Aku senyum, suara jiran aku. Kenapa
selalu sahaja dia berada diwaktu aku memerlukan pertolongan. Adakah sentiasa
ada kebetulan atau takdir diantara aku dan dia. Tetapi jika difikirkan,
memangpun saat ini aku memerlukan pertolongannya. Jika tidak dari dia, mungkin
sesiapa yang sudi membantu. Tanpa banyak soal, aku serahkan Lia yang masih lena
untuk didukungnya. Manakala aku mengambil semua barangan yang perlu aku bawa
naik. Lega, tidak perlu berulang kali turun mengambil barang.
“Baru sampai ke?” tanyanya lagi.
“Ha ah..” jawabku sewaktu berjalan seiring kedepan
pintu lift. Sedikit mengah, mengajar langkahnya yang panjang dan laju.
Nampak benar aku ini hanya ingin menggunakan
pertolongannya. Sebabnya perbualan aku dengannya seperti dingin sahaja. Tidak
patut betul aku ini kan! Sepatutya orang berbudi kita berbahasa. Ini tidak!
Orang berbudi kita buat sombong pula.
Lia yang masih lena dibahunya sedikit bergerak. Tangan
kasarnya pantas pula menepuk belakang Lia agar terus Lena. Aku kagum dengan
lelaki ini, melayan Lia seperti dia pernah lakukannya tanpa kekok. Tetapi aku
tidak tunjukkan riak kagum ku dengan tindakannya. Aku bersahaja, mungkin dia
ramai adik-adik atau setidak-tidaknya ada ramai anak buah, atau mungkin dia
sudah ada ramai anak yang berderet menunggunya dirumah. Aku tidak tahu yang
mana satu, tetapi pasti mengena salah satu tekaanku. Itu sebablah dia pandai
menjaga kanak-kanak. Banyak pula andaian aku. Tahu-tahu kami sudah berada
didepan lift.
Sama-sama masuk ke dalam lif tanpa sebarang bicara.
Aku mati dengan kata-kata sebenarnya, memangpun aku ini species yang kurang
mesra alam sedikit, tetapi bukanlah kategori sombong. Namun punya hati yang
baik, puji diri sendiri nampak!
Sebaik pintu dibuka aku letakkan barangan kedalam unit
apartmentku dan mengambil Lia dari si jiran yang masih mendukung Lia. Dia hanya
berdiri didepan pintu, menunggu aku.
“Terima kasih saudara..” kataku. Aku masih tidak ingat
siapa namanya. Nasiblah kau jiran. Buat masa ini aku panggil dia dengan nama
saudara sahaja.Tak salahpun kan..
***
Sementara Lia masih lena, aku kedapur untuk memasak
air, agar aku sentiasa mempunyai bekalan air panas untuk membuat susu Lia nanti
apabila dia terjaga pasti dahaga hendak susu. Belum sempat aku meletakkan cerek
di dapur, aku terdengar loceng pintu unit aparment aku berbunyi.
“Apa lagilah agaknya si jiran ini” omel ku, kerana aku
pasti sudah tidak ada orang lain lagi, atau aku sudah tertinggal sesuatu.
Dengan rakus aku membuka pintu, hendak marahlah konon.
Tiba-tiba mukaku berubah, orang yang berdiri dengan satu bungkusan memang
jiranku, tetapi bukan si rambut kerinting, tetapi kali ini kakaknya, kak Rozi.
Sudah 8 September rupanya, cepat betul dua minggu berlalu. Tahu-tahu kak Rozi
sudah kembali ketanah air.
“Apa khabar Kak..?” berseri muka aku. Perempuan yang
baru balik dari tanah suci lagilah berseri mukanya. Aku cukup gembira bertemu
dengan jiran ku yang ini. Tersenyum lebar aku, dari telinga ke telinga.
“Lia tanya Akak ke? ..akak..semua Alhamdulillah. Sihat...Lyna
macammana? Lia mana?” sambil menyengok kedalam apartment aku, mencari-cari
kelibat Lia nampak gayanya.
“Sayapun sihat
aje kak, ahhh..si Lia tido..” jawab ku. Mengoyang-goyangkan badanku yang
tadinya bersandar ditepi pintu. Didada meronta-ronta soalan yang hendak
terkeluar, tetapi tidak terlepas oleh mulut untuk bertanya.
“Ohh.. ni
ah..ada kurma sama air zam-zam sikit untuk Lyna, Lia dengan Yan..akak tak bawak
balik banyak, tapi cukuplah untuk beri sorang sikit dengan jiran-jiran kita..”
katanya, kendur dan berhemah.
Aku mengambil
beg plastic dari tangan kak Rozi sebaik sahaja dihulur.
“Terima kasih kak.. alhamdullillah dah selamat umrah
akak..” tanya ku ingin bermesra konon, tetapi sebenarnya di dalam hati
meronta-ronta hendak luahkan bertanyaan. Pertanyaan yang sudah lama bertapa
didalam kepala otakku.
Apa lagi, jika tidak mengenai silelaki misteri. Tetapi
terasa malu pulak. Tunggulah Lyna, nanti-nanti, kemudian boleh tanya, kak Rozi
masih penat tu..
“Alhamdullilah.., akak balik dulu la..” katanya
meminta diri. Aku tegak berdiri seumpama mendengar dendangan lagu “Negaraku“.
Hanya memerhati kak Rozi beredar.
Belum beberapa langkah kak Rozi berpatah balik. Aku
baru hendak menutup pintu, terpaksa membatalkan, apabila melihat kak Rozi
kembali kehadapan ku.
“Oh ya.. Lyna dah kenal dengan Fahmi, adik akak
kan?..” bersuaran kak Rozi
Bagai dicita, ulam mendatang.. aku sudah mengetahui
namanya. FAHMI, bukan susah sangat namanya. Yang aku tidak boleh ingat tu
kenapa? Bukannya berbelit-belit seperti nama lelaki Rusia atau lelaki dari
Afrika..
Aku angguk laju dan mulai sekarang aku kena ingat
namanya Fahmi, dan rupanya adik Kak Rozi. Satu persoalan sudah terjawab.
“Ya..kak, dah.. Lyna dah kenal dia..tapi kenal
gitu-gitu aje..” kataku menyorokkan hakikat sebenarnya, kenal lebih dari
gitu-gitu, seperti yang diberitahu. Asayman..
“Si Fahmi tu.. sibuk nak kenal Lyna, sampai siap call
akak kat sana.. tak sabar-sabardia nak
tahu siapa Lyna. Adik akak tu..dia memang macam tu..” kata kak Rozi lagi,
tunduk. Tanpa dia sedar, dia menceritakan hal adeknya. Perlukah aku tahu?
Memang perlu, kerana dia bertanyakan hal aku..
Aku hanya sengeh mendengar ceritanya. Sampai begitu
sekali perangai sirambut kerinting....opps sudah ada nama sekarang, Fahmi.
“Lyna..mula-mula terkejut jugak, kenapa ada orang baru
suami isteri dalam rumah akak?” kata ku pantas.
“Ahhh.. suami isteri? Fahmi bawa perempuan masuk rumah
akak ke Lyna?” sudah pucat muka kak Rozi apabila Lyna memberitahu suami isteri.
“Apa? Adik akak belum kahwin lagi ke? Tapi.. saya ada
dengar macam ada suara perempuan ..” kataku dengan wajah terkejut. Aduh..sudah
tersalah cakap pula aku. Sekarang sudah tergeliat lidah nak menghuraikan.
“Adik akak tu baru aje kerja pensyarah kat Uni swasta,
setahu akak dia belum kahwin lagi. Tapi tak tahulah akak kalau dia nikah
senyap-senyap masa belajar kat New Zealand dulu..atau sepanjang akak di Mekah.
Memang akak ada doa kat Kaabah, minta dia cepat dapat jodoh, tapi takkanlah
pulak cepat sangat, sampai tak menyempat-sempat tunggu akak balik?” nada suara
kak Rozi yang seperti marah.
Dah pulak, nayalah kau Fahmi. Kak Rozipun nampak
kurang senang dengan statement dari mulut ku yang celupar, memang tidak ada
insuran punya mulut.
“Mungkin saya salah dengar agaknya kak, sebab saya
cuma dengar suara perempuan, tapi saya tak tahulah siapa?” kata ku cuba
membetulkan apa yang telah aku terlepas cakap.
Hiss.. lidah ni
pun cepat sangat celupar. Kan,
dah jadi kes nanya kat orang…
“Hemm.. tak apa, nanti akak tanya sendiri si Fahmi
tu..akak balik dululah Lyna.” Bergegas sahaja kak Rozi beredar.
“Terima kasih kurma sama zam-zam ni kak..” sempat pula
aku laungkan kearah kak Rozi, sambil aku angkat sedikit beg plastic putih yang
berisi buah kurma itu.
Kak Rozi tidak menjawab, difikirannya sudah penuh
dengan persoalan yang telah diberi oleh aku tadi agaknya. Menyesal
pula aku cerita pasal suara perempuan tu. Aku masuk dengan gelengan kepala.
Itulah bila bercakap tidak fikir dulu. Orang sudah pesan, terlajak perahu boleh
undur, terlajak kata, badan binasa. Dah tahu mulut tidak ada insuran, inilah
jadinya. Aku geleng lagi..Kasihan mamat tu, pasti kena marah! Sekarang aku
simpati pula, sudah terlambat.
Aku menuju
semula kedapur. Cerek air aku letak dipenunu dan menyalakan dapur. Aku jengok
kedalam, Lia tetap lena. Penat sangatlah tu, penat bermain sebab ada orang
melayan.
Kemudian aku
terfikir lagi, kasihan pulak aku nanti Fahmi akan dimarahi oleh Kak Rozi..
Hisy.. kenapalah celupar sangat mulut aku ini. Elok elok Fahmi nak bantu aku
selalu, nanti dia boikut aku..bodoh betul aku ni kan. Itulah Ilyna Suffiyah,
lain kali bila hendak bercakap, fikir dulu, ingat tu.. fikir dulu.
***
“Mana kau dapat buah kurma ni Lyna.. sedap, lembut aje
rasanya. Kau beli kat mana? Kat Wisma PKNS ke? Setahu aku, kurma kat sana sedap
juga.. tapi mahal la..” tanya Dian, mulut masih menyuap buah kurma yang
tidaklah banyak mana, satu persatu disumbat kemulutnya, kemudian dikeluarkan
bijinya.
“Takkk.. aku tak beli, Kak Rozi yang beri tadi..”
jawab ku
“Kak Rozi?, dia dah balik duduk apartment dia ke? Jadi
kau dah tahulah status lelaki mystery kau tu..” soal Dian, seperti memerli aku
sahaja bunyinya.
“Haah, aku dah tahu, adik dia rupanya..” jawabku
selamba. Dian pandang aku sambil mengangkat keningnya, sempat lagi menyakat
aku, budak ini.
“Kak Rozi kata dia bujang, tapi hari tu aku ada dengar
suara perempuan dalam rumah tu..” sambungku lagi.
Dian terhenti makan dan mendengar apa yang hendak aku
sampaikan.
“Bujang! Jadi suara siapa yang kau dengar tu hah?”
pertanyaan terkejut Dian
Aku angkat bahu.
“Oh ya, air zam-zam pun dia ada beri, kau nak ke?
Kalau tidak aku nak beri Lia minum aje..boleh tak?” tanya aku jujur kepada
Dian.
Manalah tahu diapun hendak air zamzam tersebut kerana
dia juga ada bahagian untuk air itu.
“Ya lah. beri Lia aje..” perlahan sahaja jawapan Dian.
“Nampaknya lelaki tu dah tak misteri lagi, tapi suara
perempuan tu yang masih misteri..jeng..jeng..jeng..” si
Dian buat kelakar.
Aku baling
cushion, sempat pula disambutnyaa. Dian oh Dian..dua tahun serumah dengannya
membuat hubungan kami seperti saudara. Walaupun sebenarnya tidak ada pertalian
darahpun, tetapi kami rapat. Nanti jika kau sudah tidak serumah dengan aku, siapalah
agaknya yang akan menyambut kusyen yang akan aku baling..
No comments:
Post a Comment